Selasa, 13 Januari 2009

HANTU SETAN

Ini adalah sambungan apa yang aku tulis di sini. Silalah nilai hasil kertas kerja aku yang tak seberapa ni, itupun jika kamu rajinlah nak membacanya. Selamat menilai dan mengkritik ye;)


UNSUR-UNSUR ANIMISME DALAM NOVEL SRENGENGE

ABSTRAK

Animisme merupakan satu kepercayaan yang terdapat di kalangan masyarakat yang mengamalkan corak hidup sederhana. Mereka mempercayai tentang kewujudan makhluk halus yang hidup di sekeliling manusia. Makhluk tersebut dipercayai boleh menganggu dan memberi angkara kepada mereka. Untuk mengelakkan gangguan makhluk halus ini, maka manusia menganjurkan pelbagai upacara untuk mengusir makhluk halus ini atau sekadar untuk menyenangkan hati mereaka sehingga makhluk halus ini tidak lagi membuat angkara.

Kata kunci : Animisme, Pawang, Bomoh, Kepercayaan, Agama Islam, Makhluk Halus, Upacara, Keprcayaa, Orang Melayu.

PENDAHULUAN
Kepercayaan animisme atau kepercayaan kepada makhluk halus dan roh dipercayai merupakan asas kepercayaan agama yang mula-mula muncul dikalangan manusia primitif purba kala. Kepercayaan animisme mempercayai bahawa setiap benda di bumi ini, (seperti kawasan tertentu, gua, pokok atau batu besar), mempunyai semangat yang mesti dihormati agar semangat tersebut tidak mengganggu manusia, malah membantu mereka dari semangat dan roh jahat dan juga dalam kehidupan seharian mereka. Semangat ini juga dikenali dengan pelbagai nama, antaranya jin, mambang, roh, datuk, tuan, dan penunggu. Kadang-kala semangat ini juga dianggap roh leluhur mereka yang telah meninggal yang kini menetap ditempat sedemikian. Dianggarkan bahawa di Kalimantan Barat masih terdapat 7,5 juta orang Dayak yang tergolong pemeluk animisme.
Selain daripada semangat dan roh yang mendiami di tempat-tempat yang dinyatakan di atas, kepercayaan animisme juga mempercayai bahawa roh orang yang telah mati boleh masuk ke dalam tubuh haiwan, misalnya suku Nias, di sebuah pulau yang terletak di barat Sumatera mempercayai bahawa seekor tikus yang keluar masuk dari rumah merupakan roh daripada wanita yang telah mati beranak. Roh-roh orang yang telah mati juga boleh memasuki tubuh babi atau harimau dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh si mati pada masa hidupnya. Kepercayaan ini menyerupai dengan kepercayaan kelahiran semula seperti yang terdapat pada agama Hindu.

SINOPSIS SRENGENGE

Srengenge karya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dicipta dengan kekuatan ilmu bantu berkenaan hutan dan rimbanya, pokok dan tumbuhannya, tanah dan tanihnya, binatang dan haiwannya, bahkan disertakan sekali gambaran dan suasana yang sangat jelas dan mempersona. Semuanya jelas dengan kekuatan bahasa Sasterawan Negara ini, penggunaan ayat berulang (tetapi isi yang masih bebeza) menjelaskan kekuatan bahasa paling tidak, memberikan gambaran dengan seratus kalimah dan juga memiliki kosa kata yang sangat padu .
Srengenge dilakarkan juga dengan mempersembahkan ilmu bantu yang sangat kuat mengenai adat orang-orang dahulu serta pergaulan mereka, cara hidup mereka, cara berfikir, cara bertindak, cara berinteraksi; apa yang lebih jelas lagi memaparkan corak kehidupan warga kampung atau di kawasan pedalaman. Tetapi, yang mengkagumkan bagi saya, adalah cara Sasterawan Negara Shanon Ahmad sendiri berfikir, atau juga boleh disebut, pengetahuan yang beliau miliki sendiri.
Daripada meracik tekukur, menepuk pelanduk, menggetah puling, menjebak landak, hinggalah kepada teknik-teknik khas yang diperlukan semasa semua kemahiran itu dilaksanakan. Tidak masuk lagi menutuh Srengenge, menebang, membakar, memerun dan menajuk Tetapi, apabila Sasterawan.Negara Shanon Ahmad mula memasukkan falsafah kehidupan, bahawa hidup itu adalah kerja, saya benar-benar kagum. Hidup itu bererti kerja, kata beliau. Walaupun sinopsis cerita ini barangkali pendek( Awang Cik Teh mahu tutuh Srengenge, Imam Hamad bersetuju akhirnya setelah kematian denak, Imam Hamad jatuh sakit, panggil Useng berubat, menjamu, dan akhirnya Imam meninggal dunia), tetapi kejelasan dalam penceritaan bukanlah suatu yang calang-calang. Bahkan menjelaskan latar sebenar suasana dan fiil manusia membuatkan kita akan terfikir sebentar – bahawa Imam Hamad adalah imam ketika di tikar sembahyang, tetapi apabila di hutan meracik tekukur beliau adalah juara tekukur. (menjernihkan kontra dengan kekuatan bahasa) Bahkan terdetik di hati saya, Awang Cik Teh lebih layak lagi jadi Imam. Barangkali kerana tua. Barangkali kerana orang tak suka.
Cerita yang berakhir dengan kematian Imam Hamad sebenarnya bermula dengan keinginan menutuh Srengenge. Dan, antara babak paling panjang adalah proses mengubati Imam Hamad yang dikatakan 'tertegur'. Juga proses berdukun dan 'menjamu'. Inilah yang akan dicincangkan di dalm makalh ini iaitu unsure-unsur animisme yang ada di dalam novel Srengenge.

PENERAPAN KONSEP “INSTITUSI KULTUS”

Di sini kita dapat menerapkan konsep “institusi kultus” (cult instituation) Anthony F.C. Wallace kepada perlakuan agama orang Melayu. Dalam penganutan agama rasmi iaiatu agama Islam, cuma corak pertama, ketiga dan keempat yang terdapat, tetapi dalam konteks kepercayaan lama terdapat corak kedua. Dalam Islam ibadat kepada Allah Subhanahuwa Taala tidak perlu perantara. Walaupun terdapat alim ulama seperti imam, kadi atau mufti, mereka cuma merupakan sebagai petunjuk sahaja. Apabila imam mengetuai sembahyang jemaah ataupun membaca doa dan mukmin mengaminkan, ini tidak bermakna bahwa mereka menjadi perantara. Berlain dengan upacara-upacara mengubat orang sakit, berjin, menyemah pantai ataupun menilik yang berlandaskan kepercayaan lama, perantara dalam bentuk bomoh atau pawang diperlukan. Dalam istilah antropologi, ahl—ahli seperti ini dikenali sebagai shaman, sementara imam yang mengetuai sembahyang jemaah adalah golongan ahli agama yang mempunyai pengetahuan menjalankan upacara ibadat kepada Tuhan, tetapi tidak berkebolehan menghubunginya secara langsung. Apabila seorang mukmim mendirikan solat, bedoa atatu bernajat kepada Tuhan, perlakuan yang dialakukannya dapat diakatakan sebagai institusi kultus yang bercorak individu. Bagi instiusi kultus bercorak ketiga iaitu berbentuk komunal memang terdapat dalam agama Islam seperti mengadakan upacara korban pada hari raya haji ataupun mengadakan majlis seperti berzanji, menyambut Maulidul Rasul, israk dan mikraj iaitu perkumpulan-perkumpulan yang mungkin tidak merupakan ibadat, tetapi mendapat pahala (religious merit). Yang penting di sini bukan imam atau ahli agama lain yang memainkan peranan utama (mereka mungkin memberi syarahan atau menyembelih binatang sebgai korban), tetapi komuniti atau jawatankuasa mereka yang mnegaturkan pertemuan-pertemuan itu. Corak ketiga ini juga terdapat dalam kepercayaan lama iaitu apabila terdapat wabak penyakit atau krisis yang melibatkan seluruh komuniti, maka yang mengatur upacara-upacara seperti melayarkan lancang, menyemah pantai atau bela kampung adalah anggota komuniti itu sendiri walaupun yang menjalankan upacara sebenar ialah pawang atau bomoh yang merupakan institusi kultus pawan (shamanic cult instituation). Dalam Islam ibadat seperti megucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, menunaikan fardu haji atau membayar zakat dan fitrah sebanrnya merupakan institusi kultus bukan church (ecclesiastical cult instituation) kerana ia merupakan ibadat church itu sendiri, tetapi ia boleh dijalankan sebagai institusi kultus individu (invidual cult instituation). Menunaikan fardu haji di Mekah, misalnya, adalah perlakauan individu, tetapi mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.Oleh itu konsep institusi kultus iaitu cara perlakuan atau oragniasai ibadat mana-mana agama sekalipun dapat dinyatakan dengan bahasa yang sama.

KEPERCAYAAN WARISAN ORANG MELAYU

Pengetahuan agama Islam di kalangan orang melayu kampung, selain daripada ibadat yang asas seperti solat (sembahyang lima waktu sehari) , puasa di bulan Ramadhan, atau fardu-fardu kifayah yang lain, mungkin tidak begitu mendalam. Keratan antara yang betul dengan yang tidak bagi mereka adalah tipis, tetapi sebagai komuniti Islam percubaan ke arah hidup berlandaskan ajaran Islam yang ideal sentiasa ada. Dalam keadaan inilah beberapa kepercayaan lama masih diperlakukan terutama dalam hubungan dengan kegiatan-kegiatan hidup yang praktik. Penyakit harus diubati, keselamatan di laut waktu menangkap ikan harus dijamin, sawah dan ladang perlu di jaga supaya tanaman tidak ditimpa kemudaratan daripada kemarau, penyakit dan serangga, atau wabak harus dihindar dan berbagai-bagai lagi. Walaupun dalam Islam ada solat hajat, tetapi manusia mesti beriktiar. Tambahan lagi, sejak zamn-berzaman, semenjak orang Melayu belum menganut agama Hindu atau memeluk Islam, mereka telah menghadapi masalah hidup yang sama.
Kepercayaan dan pengetahuan dalam menghadapi alam sekitar yang nyata dan ghaib tetap kekal selagi manusia tidakmempunyai jawapan yang lebih baik untuk mengatasinya. Sehingga manusia mendapat pengetahuan sains pun seperti yang diperkatakan di atas, ia tidakdapat menguasi keadaan sepenuhnya. Tetap ada “garisan yang tidak menentu” tadi. Walaupun Islam mengajar manusia tentang tauhid kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi manusia juga digalakkan berikhtiar dan tidak menyerah saja kepada Tuhan. Dalam garisan inilah didapati bahawa orang Melayu dalam komuniti seperti di kampung tradisional masih lagi berpegang kuat kepada kepercayaan lama. Seperti pepatah Adat88 Perak, “jika imam tempatnya di masjid, maka bomoh atau pawang tempatnya di rumah orang sakit atau di sawah ladang”.
Contoh yang paling baik dapat dikemukan dalam novel Srengenge ialah pada bab kesembilan pada halaman 97. Dalam bab itu watak Hajah Munah telah meminta anaknya Jantan suapaya memangil Useng iaitu bomoh dikampung mereka kerana suaminya tiba-tiba jatuh sakit. Pernyataan ini dapat diperkukuhkan lagi dengan petikan dari novel Srengenge seperti berikut : -

Subuh cepat berubah. Ayam terus berkokok. Dia turun tangga kayu bulatnya dan gedubuk-gedebak berjalan berlari menuju rumah Useng. Subuh-subuh begini Useng tentu tidak pergi ke bukit Srengenge untuk menjebak landak. Sekali-sekala dia rasa mustahak juga Useng ada dalam kampung. Gila-gila landak pun, Useng tu, sesak-sesak boleh juga halau hantu setan. Boleh juga jampi sakit pening. Tahu juga ramuan-ramuan akar kayu.
Halaman 98

Useng berjalan lagi. Langkahnya sedikit cepat. Sekali sekala berhenti merentap akar-akar kayu, pucuk-pucuk kayu di sepanjang jalan. Sekali-sekal dia mematahkan daun akar seribu. Kalau mustahak dia terpaksa lupa nanti. Kena minta tolong jin Islamnya. Dengan daun ranting itu dia kenalah pukul Imam hingga berbalur belakang. Kalau perlu lagi, kuku ibu jari kaki Imam akan diapit dengan kacip pinang. Biar kita tengok hantu siapa masuk Imam.

Useng sesunggunya tak peduli hantu siapa. Dia percaya kepada jin Islamnya. Dengan sekali sekali tempik pun terhambatlah segala hantu segala iblis segala pelesit dalam badan Imam.
Halaman 103
Dalam komuniti Melayu tradisional, selain daripada penghulu yang menjadi ketua dari segi politik dan imam sebagi ketua dalam masjid, bomoh dan pawang juga merupakan ahli dalam bidang mengubati penyakit dan kegiatan hidup yang lain seperti mengambil madu lebah atau mencari bijih timah. Bomoh dan pawang boleh dianggap sebagai institusi kampung Melayu yang melengkapi hidup komuniti dan merupakan warisan zaman silam peradaban Melayu. Sesungguhnya wujudnya bomoh dan pawang dan apa yang mereka wakili dalam kegiatan mereka menimbulkan konflik dalaman di kalangan orang Melayu apabila Islam dan kepercayaan warisan ini diterima sebagai dua kutub dalam kehidupan orang Melayu. Dalam situasi yang jauh daripada adanya pengetahuan agama yang mendalam, adanya kemudahan kegiatan hidup seperti bercucuk tanam dengan menggunakan jentera, menangkap ikan dengan menggunakan bot atau pukat berjentera dan adanya kemudahan kesihatan seperti hospital, klinik dan doktor, maka hidup terpaksa bergantung kepada pengetahuan yang ada bagi menghadapi segala macam ketidak tentuan yang wujud dalam kehidupan. Dalam situasi seperti inilah kepercayaan warisan yang sekian lama menjadi sandaran hidup komuniti Melayu terus hidup.
Mereka yang berpegang kuat pada agama atau mereka yang mempunyai pengetahuan sains (yang sudah bersekolah) akan terus menentang warisan lampau, tetapi warisan lampau ini masih dipegang kuat oleh anggota-anggota yang tua atau mreka yang empunyai pengetahuan tentang kepercayaan-kpercayaan ini lantaran desakan hidup. Namun begitu tidak ada keratan yang tajam antara kedua-dua alam ini kerana didapati bahawa seorang imam juga bertindak sebagai bomoh atau pawang. Mungkin ini berlaku kerana di kalangan orang Melayu, pandangan mereka terhadap kepercayaan warisan bertingkat-tingkat. Ada yang dianggap benar-benar menyalahi akidah agama kerana syirik atau menduakan Tuhan, tetapi benyak yang samar-samar dalam tanggapan mereka. Mereka yang berpengetahuan cuba menjauhi upacara-upacara seperti memuja dewa-dewa, menurun, berjin merasuk dan sebagainya yang meminta kuasa luar biasa itu menggunakan kuasanya.
Upacara ialah perlakuan tertentu yang seperti proses sains juga cuba mengubah keadaan, daripada sakit kepada sembuh, daripada hilang kepada dapat dan sebagainya. Perbezaannya ialah, dalam upacara-upacara ini, kuasa luar biasa seperti hantu jembalang digunakan.kadang-kadang supaya upacara-upacara ini tidak kelihaan begitu bertentangan dengan Islam, terdapat pengalihan makna seperti kuasa luar biasa dikaitkan sebagai jin, iblis atau syaitan iaitu kuasa-kuasa luar biasa yang terdapat dalam ajaran Islam. Upacara-upacara lain seterusnya bertingkat-tingkat ke arah yang lebih dapat diterima oleh ajaran Islam seperti menilik, mencari pelangkah, merenung, memakai tangkal atau azimat dan sebaginya.
Penyataan ini boleh disokong dengan contoh yang ada di dalam novel Srengenge. Berikut diberikan contoh petikan dari novel tersebut :-

Para tetamu mula injak punggung; mnegesot-esot hingga jadi satu bulatan macam penampi buluh dinding. Kasseng berjengket masuk bilik, diikuti Debasa dan Saad Cik Lah. Imam Hamad diusung keluar. Jantan ampu kepala bapanya.
Sementara itu Hajah Munah sudah sedia dengan kehendak-kehendak berdupa; kemenyan sejemput, lilin, benang hitam lima pintal, pinang sepiak, wang lima belas sen dan seranting mengkudu berdaun lebat.
Useng bersila teguh. Kain lepas terlilit di kepala dengan hujungnya terjuntai sedikit hampir-hampir tertempuh telinga kiri. Imam Hamad terkedang macam batang pisang di atas sehelai tikar putih. Tiba-tiba susana menjadi sepi sekali bagaimana benar-benar malaikat melintas. Semua melihat Useng yang nampaknya berkemas betul; bagaikan juara yam sabung mula melepas pupuh masuk tebat.
Tiba-tiba dia mendongak membeliakkan biji kedua belah biji matanya ke arah Srengenge yang jauh terpampang di langit yang cerah. Bibirnya komat-kamit menyeru segala roh-roh. Kepala lututnya mulai terketar-ketar kedua belah. Lima pintal lilin benang hitam sudah terpasang. Apinya malap; terlengok-lengok tak tentu arah. Kemenyan ditabur di atas bara merah dan cepu. Asap melonjak keluar dan baunya entah semerbak enath tidak. Useng jemput asap-asap itu serta melontar ke arah Srengenge. Bibir terus berkomat-kamit. Sepiak pinang diacapai dan disumbat masuk mulut serta cepat-cepat dikunyah. Matanya merah. Dan tiba-tiba lagi seluruh badannya bergerak, berdenyut di sana berdenyut di sini.
Useng melompat berdiri bagaikan Sang hanuman terkejut api Maharaja Ravana. Tiba-tiba lagi lompatan itu berkisar ke seluruh ruang mengelilingi Imam Hamad yang tetap tekedang juga sambil tangan kanannya mengamit-gamit sesuatu dari arah Srengenge yang tersergam hodoh. Dia terjun terus ke arah jemburan gelegar bulhu dan terus mengamit-gamit lagi. Gamitan-gamitan itu mulanya deras tapi kemudiannya perlahan-lahan. Lagi dia melompat ke atas serambi; terloncat-loncat betul-betul macam Hanuman.
Imam Hamad terkedang juga di situ macam batang pisang.
Ranting mengkudu berdaun lebat disentap. Dia mengamit-gamit lagi ke arah Srengenge dengan ranting mengkudu berdaun lebat itu. Tiba-tiba disebatnya Imam Hamad yng terkedang. Daun-daun mengkudu yang hijau itu relai dan luruh bercempera di atas tikar putih dan Imam Hamad sendiri masih terkedang.
Imam hamad berdenyut. Kedua belah kakinya tersentak-sentak. Tangan kanannya sedikit diutau. Tapi kemudiannya kaku kembali. Disebatnya lagi. Daun mengkudu luruh kesemuanya dan ranting jadi dogol. Badan Imam Hamad berbalur; merah berbatas-batas bertumpang tindih macam gores api bercempera.
Useng sempat mengamit lagi kea rah Srengenge.
“Siapa nenek engkau?” soal Useng bermata merah. Sepi menangkup susana
“ Siapa bapa engkau” soal Useng lagi.
Sepi menangkup suasana.
“Siapa emak engkau?”
Imam hamad disebat dengan ranting mengkudu yang sudah tidakb erdaun.
Imam Hamad terkejang-kejang. Lututnya kedua belah melonjak naik sekejap dan kemudia jatuh. Jari-jari kaki terketar-ketar. Tangan membedal-bedal. Tapi Imam Hamad tak juga membuka mulut memberitahu siapa nenek, siapa bapa, siapa emak.
Useng jadi Hanuman lagi sambil mengamit-gamit dengan mengkudu yang mulai mengupas kulit rantingnya.
“Hei datuk-datuk Srengenge,” serunya, “ini anak cucu Tuk Adam, anak cucu Tuk Musa, ank cucu Tuk Isa, anak cucu Muhammad. Mana asal engkau? Mana mula engkau? Mana rupa engkau? Mana keturunan engkau?”
Sepi tangkup suasan lagi. Para tetamu terduduk benar-benar macam kena pukau. Semua mata tertumpu ke arah Srengenge.
“Kami datang dengan selawat. Kami pulang dengan selawat. Selawat Muhammad. Selawat Ali. Selawat Hassn, Hussin.”
Srengenge terus tersergam dengan hodoh. Imam Hamad terus terkedang. Yang dipanggil belum tiba. Useng jadi Hanuman lagi. Disentaknya kacip yang bersarang dalam cerana. Gopoh gapah dia terpa ke arah Imam Hamad yang terkedang. Diapitnya kuku ibu jari kanan Imam. Hamba Allah yang terkedang itu tersentak, Imam meraung.
Hajah Munah menarik nafas kelegaan bila dengar raungan lakinya. Itu dia puaka sudah terasa sakitnya. Para tamu yang lain menganguk rasa lega. Memang keras perut betul orang baru Srengenge ini. Nah ini habuannya.
Useng apit lagi.Imam Hamad meraung lagi.
“Siapa nenek engkau? Siapa bapa engkau? Siapa emak engkau? Mana asal usul engkau?
Bertubi-tubi datang soalan dari Useng yang bermata merah.
Imam Hamad kembali terkedang. Badan berbalur. Ibu jari berdarah.
“Asal usul engkau?”
“Srengenge.”
“Asal usul engkau?”
“Srengenge.”
“Nenek engkau?”
“Srengenge.”
“Bapa engkau?”
“Srengenge.”
“Emak engkau?”
“Srengenge.”
Useng lumpuh urat saraf, patah semangat. Begini keras perut sekalu. Tapi mungkin Srengenge sungguh-sungguh. Boleh jadi Srengenge bukan hanya bukit tapi juga puaka, hantu pelesit, raja segala kawasan bukit itu. Orang tidak tahu. Boleh jadi itu asal usulnya. Itu neneknya. Itu bapanya. Itu emaknya. Itulah keturunannya.
Useng berhanuman lagi; terhinggut-hinggut, terkepak-kepak macam keluarga, terhangguk-hangguk macam belatuk jambul merak tak merah. Dia terjun di atas jemburan gelegar buluh dan berdiri tergak disitu. Matanya tertikam Srengenge yang tersergam. Kali ini dia tidak berkumat-kamit lagi. Tiba-tiba dia terpa k earah Imam Hamad yang jelas berbalur tumpang tindih. Daun-daun mengkudu hijau bertaburan di atas tikar, lantai, Imam Hamad dan piring pengeras.
“Minta izin?” soal Useng sambil bersela. Tubuh badan terketar-ketar. Naik kecut melihat mukanya.
“Berjamu. Berjamu. Berjamu.”
Using tersepuk rebah keatas lantai di sisi Imam Hamad. Sesungguh-sungguhnya jawapan itulah yang ditunggu-tunggu. Sudah tahu asal usulnya. Sudah tahu cara menghadapnya. Diah dan Saad Cik Lah bingkas berdiri dan mengangkat Useng yang lembik tidak sedarkan diri itu. Jantan terpa masuk bilik mengambil sehelai tikar dan sebiji bantal. Using dibaring di atasnya. Tak lama lagi dia akan sedar kembali. Akan menjadi Useng seperti sediakala.

Dia tidak akan ingat segala-gala. Tapi itu bukan payah. Para tamu semuanya dengar. Awang Cik Teh, Debasa, Kasseng, Diah, Saad Cik Lah dan lain-lain termasuk budak-budak dan perempuan-perempuan semuanya dengar apa kehendak Srengenge. Ternyata orang itu bukan orang baru. Bukan orang asing. Orangnya orang Srengenge juga. Boleh kata raja Srengenge. Dan sekarang dia sendiri mengaku. Mesti berjamu.
Halaman 116 hingga halaman 119

Kedatangan Islam telah membawa tradisi-tradisi magis seperti ini. Bahkan ilmu-ilmu seperti ini terkandung dalam istilah kitab seperti kitab Taj-ul Muluk atau kitab Kitab Mujarabat Melayu . Dalam perdaban Islam memang terdapat tradisi ubat-mengubat, malah sains perubatan moden pun tidak sedikit yang berasaskan penerokaan ahli perubatan Islam seperti Ibnu Sina. Tetapi tradisi seperti ini tidak terdapat di kalangan orang Melayu kecuali Kitab-kitab Tib yang bagi bomoh-bomoh Melayu disatukan dengan khazanah pengetahuan warisan mereka sendiri tentang ubat-ubatan terutama khasiat akar-akar kayu.
Dalam kepercayaan warisan orang Melayu, terdapat asas-asas yang sama bukan sahaja di kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan jika disusur-galurkan terdapat sebaran yang lebih luas iaitu di kalangan mereka yang bahasanya dapat disusur-galurkan kepada rumpun bahasa Austronesia. Di kalangan orang Melayu, sudah berabad-abad kepercayaan itu tidak lagi menjadi agama yang ulung, tetapi hidup pada garis sampingan (periphery) peradaban mereka. Dalam pada itu, kepercayaan warisan mempunyai premis-premis yang tertentu. Pertama kepercayaan kepada kuasa luar biasa yang mempunyai kuasa ke atas alam sekitar dan ini boleh mempengaruhi kehidupan manusia. Kumpulan-kumpulan Austronesia yang lebih lama berathan daripada pengaruh luar seperti orang Melanau di Sarawak atau orang Ifugao di utara Filipina mempunyai susuanan kuasa luar biasa yang lebih rapi. Mereka mempercayai bahwa dunia terbahagi kepada bahagian-bahagian yang tertehntu dan dihuni oleh kuasa-kuasa luar biasa yang tertentu juga. Apa yang tinggal di kalangan orang Melayu adalah kausa-kuasa luar biasa yang diseru dalam upacara-upacara tertentu seperti memuja pantai, membela kampung atau memuja tanah air dan sebagainya.
Kuasa-kuasa luar biasa ini lazimnya dikonsepsikan sebagai makhluk yang menjaga satu-satunya temapat seperti Jin Kerajaan yang menjaga negeri Perak atau penunggu yang menjaga satu-satu tempat yang apabila kita melaui tempat itu kita terpaksa meminta laluan daripadanya. Jika tidak kita akan di”sampuk”nya.
Makluk ghaib memang banyak terdapat dalam kepercayaan orang Melayu terutama “orang bunian”. Keistimewaan “orang bunian” ialah mereka merupakan penghuni dunia ini, tetapi dalam dimensi yang lain kononnya. Jika orang hilang dan tidak dapat ditemui atau jika timbul satu-satu situasi yang tidak dapat diterangkan secara rasional seperti kes wanita yang mengandung tanpa nikah, maka penerangan yang dapat diterima atau pandangan dunia orang Melayu ialah itu perbuatan “orang bunian”.
Satu lagi contoh yang dapat diberikan bagi menyokong pernyataan di atas dalam novel Srengenge terdapat di dalam petikan dari novel tersebut. Disini diberikan contoh seperti berikut :-

Walaupun Useng nampak terkejut juga mendengar nama Srengenge, dia sendiri sebenarnya tidak terkejut. Memang Srengenge itulah asal isulnya. Sekian lama tidak pernah berjamu. Anak buah kaki Srengenge ini cuma leka ambil saja dari Srengenge tapi tak pernah memberi apa-apa. Ini mujur juga dia sanggup mengaku. Bagaimana kalau dia terus berdegil tak mahu bercakap dan terus bersarang dalam jasad Imam. Bagaimana? Useng sendiri rasa bersalah terhadap datuk-datuk itu. Dia sendiri cuma gila menjebak landak saja. Dan landak itu hak punya Srengenge. Dia sendiri tak pernh beri apa-apa. Imam Hamad pun barangkali sama saja. Tak pernah berjamu walau sebiji telur pun. Yang dia tahu cma meracik tekukur saja. Dan tekukur itu hak punya Srengenge juga. Bukan saja tekukur tapi juga napuh, puling, punai, serindit, pelanduk, kayu api, rotan, bertam, akar, buah-buah, pucuk-pucuk kayu, daun ketupat buluh lemang, gondang di paya, merbuk, entahlah, semuanya hasil Srengenge. Orang kaki Srengenge cuma ambil saja.
Halaman 123

Dia teringat pada soal berjamu. Dia ingin kalu jamuan lima badang ayam itu tidak berbekas. Ayam-ayam panggang itu kan habis juga besoknya bila baunya meresap masuk hidung binatang buas.
Halaman 128


Selain daripada makhluk halus, kepercayaan kepada semangat adalah satu lagi asas kepercayaan warisan. Bukan sahaja manusia mempunyai semangat, haiwan dan benda-benda juga mempunyai semangat. Memlih atau memanggil semangat seseorang yang dikatakan boleh hilang itu merupakan upacara perubatan yang utama di kalangan orang Melayu. Begitu juga dengan upacara-upacara yang berkaitan dengan semangat padi, ia merupakan sesuatu yang utama dalam pengerjaan padi di kalangan orang Melayu sehingga tidak lama dahulu. Menarik sekali jika diperhatikan bahwa mitos-mitos yang berkenaan semangat padi pun dipadankan dengan unsur-unsur Islam. Di samping itu berbagai-bagai lagi kuasa luar biasa yang sejenis dengan semangat yang terdapat di kalangan orang Melayu sebagaimana yang dicerminkan oleh berbagai-bagai istilah yang digunakan seperti jiwa, nyawa, roh, badi dan sebaginya:. Pada masa dahulu terdapat kepercayaan bahawa sesuatu benda boleh dinyawakan, tetapi kini ia menjadi sebagai suatu bentuk permainan atau tarian. Ulek Mayang, tarian bubu atau lukah adalah seperti nani towang di Jawa yang merupajan benda yang boleh dinyawakan mengikut kepercayaan Melayu.
Selain daripada kuasa luar biasa serta upacara-upacara yang bersangkutan dengannya yang dilaksanakan bagi beberapa tujuan hidup termasuk mengubati penyakit, terdapat cara-cara lain kepercayaan warisan yang dipraktikkan. Bertepung tawar merupakan suatu yang umum bagi menyatakan kesejahteraan sesuatu pekerjaan pelepas merupakan tamatnya sesuatu upacara atau pekerjaa; berpuar merupakan upacara perjuangan antara yang baik dengan yang jahat dilakukan oleh peserta dan sebagainya.

Adat perkahwinan orang Melayu tidak sunyi daripada kepercayaan lama walaupun sekarang ini banyak cirri hndu yang dikekalkan. Tetapi kita harus melihatnya sebagai sesuatu yang bersambungan kerana apabila orang Melayu memeluk agama Islam, tidak bermakna berlaku pemisahan antara dua pihak iaitu satu pihak yang mempraktikan dan melaksanakan perlakuan Islam manakala satu lagi pihak masih mempraktikkan kepercayaan lama dan unsur-unsur agaman Hindu. Dari segi alim ulama mungkin pemisahan ini jelas, tetapi di kalangan rakyat jelata yang pengetahuan agama yang belum begitu mendalam, kepercayaan lama terus bergerak ke hadapan dan berintegrasi dengan cirri-ciri Islam, sama ada daripada tradisi popular yang sama seperti magis, sihir, menilik, memakai azimat, pelangkah dan sebagainya ataupun ajaran-ajaran yang diberikan interpretasi yang menyeleweng. Lihat saja misalnya mantera Melayu: kuasa luar biasa bukan sahaja diseru dengan nama Melayu, tetapi juga dengan nama Hindu dan nabi-nabi Islam. Salah anggap terhadap nabi-nabi jelas kerana dalam ajaran agama Islam nabi tidak lebih daripad manusia biasa, cuma mereka diangkat darjatnya oleh Tuhan dengan diberikan Mukjizat. Dalam mantera ini nabi-nabi adalah kuasa luar biasa misalnya Nabi Noh penjaga kayu dan hutan, nabi Sulaiman penjaga haiwan dan unggas serta nabi Khidir penjaga air dan laut. Kepercayaan ini juga terdapat di kalangan rakyat Parsi atau benua India, dan tidak mustahil jika dikatakan bahawa rakyat Melayu menerima tanggapan yang salah ini bersama-sama arus kedatangan Islam ke alam Melayu.
Apa yang penting diperhatikan ialah dikalangan orang Melayu terdapat kepercayaan lama yang hidup di sisi agama rasmi mereka. Kepercayaan ini mungkin dikatakan karut bagi mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang dalam, atau lapuk bagi mereka yang ingin melihat kemajuan sains di kalngan orang Melayu. Namun seorang pemerhati yang bersikap neutral tidak dapat menafikan bahwa kepercayaan lama itu wujud dan merupakan sesuatu yang nyata di kalangan orang Melayu. Pengetahuan agama dan kepercayaan orang Melayu tidak akan lengkap jika kepercayaan lama ini ditinggalkan.

PENERAPAN KONSEP-KONSEP SEPERTI MAGIS, AGAMA UNIVERSAL DAN AGAMA FOLK SERTA KEPERCAYAAN FOLK

Dalam bahagian ini, kita meneliti dahulu penerapan konsep perlakuan agama dan magis. Perbezaan antara kedua-duanya menjadi jelas apabila kita membezakan ibadat orang Melayu dari segi Islam daripada perlakuan dalam konteks kepercayaan warisan mereka. Ibadat seperti solat, puasa, menunaikan haji dan sebaginya merupakan perlakuan yang transcendental iaiatu melampaui kehendak semasa dan tidak memerlukan ganjaran serta-merta. Jika ada pun ganjaran, ia merupakan pengumpulan pahala yang ganjarannya diterima di akhirat kelak. Sebagai upacara, ia bermusim, iaitu mengikut pusiangan masa.
Maka keratan yang dipersepsikan oleh orang Melayu sendiri adalah selaras dengan skema para ahli antropologi yang membezakan antara magis dengan agama kerana dalam konteks kepercayaan warisanlah wujudnya perlakuan-perlakun yang diakatakan magis tadi. Upacara-upacara yang dilakukan sama ada mengubati orang sakit, menilik benda yang hilang ataupun menyemah pantai ada hubungan dengan krisis hidup dan memerlukan ganjaran atau hasil serta merta. Lagipun, dalam menjalankan upacara, pawang atau bomoh bersikap manipulatif terhadap kuasa luar biasa kerana kuasa luar biasa diarah dan disuruh melakukan seperti yang dikehendaki oleh ahli tadi. Bahagian yang berikut akan menjelaskan bahawa apabila membicarakan struktur, antara kutub agama dengan kutub kepercayaan warisan, struktur memang merupakan satu kontinum atau persambungan, tetapi kedua-dua kutub itu tetap wujud dalam pandangan dunia orang Melayu. Mengikut skema antropologi dua kutub itu adalah agama dan magis. Dua kutub ini wujud semenjak orang Melayu memeluk agama Islam. Ini tidak bermakna bahawa penganutan itu cuma merupakan penukaran premis ksemata-mata, tetapi penganutan itu didukung oleh organisasi politik dan sosial juga. Church dan negara di sebuah negeri Melayu yang bersultan sejak zaman Melaka lagi saling sokong-menyokong, tetapi tidak merupakan teokrasi kerana raja yang memerintah tetap merupakan kuasa politik bukan golongan ahli agama, walupun legitimasi sesorang pemerintah mempunyai unsur agama juga (bayangan Allah di dunia). Dengan ketegasan ini, maka kita boleh mengatakan bahawa kepercayaan folk wujud di kalangan orang Melayu, kerana kepercayaan folk adalah kepercayaan lama tetapi merupakan unsur-unsur Islam yang menyeleweng daripada ajaran yang sebenar.
Islam adalah agama universal. Walupun tiap-tiap pemerintahan politik mendirikan organisasinya sendiri bagi melaksanakan Islam iaitu mendirikan church, dari segi istilah, namun sebagi agama universal, Islam mempunyai church sejagatnya yang tersendiri ( ada premis kepercayaan, ada upacara, ada kitab dan sebagainya ) yang melampaui tiap-tiap church tempatan, yang dengan sendirinya pula semestinya berdiri atas asas-asas church sejagat itu. Apa yang berlaku ialah perkembangan Islam, dikalangan orang Melayu, melimpah atas kepercayaan yang sudah sedia ada, baik agama Hindu di pusat-pusat kerajaan Melayu yang sudah sedia mempunyai raja, mahupun kepercayaan lama yang mungkin merupakan agama folk seperti yang terdapat di kalngan orang Iban, Murut atau Ifugao. Penganutan agama folk bergandingan dengan organisasi politik dan sosial. Kumpulan ini belum mengenali konsep politik negeri atau sistem beraja dan masih merupakan organisasi politik dan sosial tempatan yang belum mampu mendukung idea seperti yang terdapat pada agama universal. Ia cuma dapat mendukung idea yang terdapat pada agama folk saja.
Oleh yang demikian penganutan Islam merupakan sesuatu yang didukung oleh ciri-ciri pendakwahan ajaran yang benar dan dikehendaki, menurunkan taraf tingalan-tingalan kepercayaan warisa itu. Dalam susunan nilai sosial orang Melayu, mengadakan upacara warisan merupakan sesuatu yang rendah mutunya atau duduk di bawah norma sosial yang ada. Jika tidak ada desakan untuk mneyelesaikan satu-satu masalah yang praktikal (iaitu sesuatu yang pasti wujud dalam kehidupan manusia kerana dalam lingkungan Islam juga terdapat kepercayaan-kepercayaan “popular Islam” yang menjawab soal-soal seperti penyakit dan sebaginya.), maka tinggalan itu akan lenyap kerana desakan ajaran Islam yang murni. Oleh sebab desakan seperti itu wujud, kepercayaan kepercayaan lama masih dilaksanakan oleh masyarakat. Dari segi skema sains sosial, kepercayaan seperti ini dinamakan kepercayaan folk, dan keprcayaan rakyat itu cuma wujud, menurut Schneider, kerana wujudnya church.

KESIMPULAN
Dapat disimpulkan di sini bahawa kepercayaan orang Melayu kepada perkara-perkara ghaib disebabkan banyak faktor. Kepercayaan animisme orang Melayu sangat kuat walupun mereka sudah memeluk agama Islam. Ketiadaan kemudahan perubatan, kurang pengetahuan agama yang mendalam, kepercayaan warisan nenek moyang, kurangnya pelajaran adalah beberapa punca mengapa orang Melayu masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme. Novel Srengenge karya Sasterawan Neagara Shahnon Ahmad menceritakan bagaimana satu komuniti orang Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman mempercayai dan masih lagi mempraktikkan animisme. Walaupun mereka masih lagi berpegang kepada ajaran Islam, perbuatan syirik masih lagi dilakukan termasuklah ahli agama atau alim ulama seperti watak Imam Hamad. Persoalan syirik atau menduakan Yang Maha Esa dipaparkan oleh Shahnon Ahmad merupakan satu kritikan atau sindiran kepada masyarakat Melayu itu sendiri yang beragama Islam.

BIBLIOGRAFI
Mohd.Taib Osman.1989.Masyarakat Melayu : Struktur,Organisasi dan Manifestasi.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Shahnon Ahmad.1988.Srengenge.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Hashim Wan The & Ismail Hamid.1998.Nilai Budaya Masyarakat Desa:Kajian
Etnografi di Wang Kelian, Perlis.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

RUJUKAN LAIN
www.wikipedia.com

0 comments: