

Sebagai anak muda, kamu mesti pernah dimarahai, dileteri, dicemuh, dipandang serong atau dianggap tidak mempunyai jati diri sebagai meLAYU(kalau kamu meLAYUlah) oleh sesetengah orang tua kerana kamu tidak tahu atau malas mahu ambil tahu mengenai budaya warisan tradisional. Lebih parah jika kamu seorang "mat rock busuk" seperti aku, kaki club, ataupun pengikut mazhab fesyen dari barat atau Jepun. Kamu mahu menjadi Ranggi, kamu mahu menjadi anak muda yang cool dan kamu mahu jadi anak muda yang Rock N Roll, tapi sesetengah pihak mengaggap kamu terpengaruh dengan budaya kuning.
Untuk aku, aku sudah sangat lali dengan semua cemuhan ini semenjak aku berumur 18 tahun lagi dan menjadi lebih parah apabila aku mula menyimpan rambut panjang dan mula pakai baju berwarna hitam sahaja.
Baiklah, kenapa perkara ini berlaku?
Aku ambil contoh di tempat aku belajar dahulu di ASWARA. Kebanyakkan pelajar yang rata-ratanya anak muda mula mengeluh dan malas apabila "terpaksa" belajar subjek wajib akademi iaitu Wayang Kulit, Bangsawan dan Mak Yong. Namun, tidaklah semua merungut apabila terpaksa belajar subjek tradisional ini.
Pernahkah sesetengah pihak yang yang merungut ini ditanya atau dikaji kenapa mereka tidak mahu dan malas belajar subjek ini. Bagi aku jawapannya senang saja iaitu kerana mereka TIADA PENDEDAHAN AWAL mengenai budaya warisan tradisional.
Kita lihat subjek dari sekolah rendah lagi. Lebih spesifik, kita lihat pula subjek muzik dan seni. Apa yang diajar kepada mereka? Adakah mereka diajar apa itu Gamelan, Caklempong, Serunai, Rebab, Gong, Gendang dan pelbagai lagi jenis alat muzik tradisional? Alat muzik apakah yang diajar pada budak-budak sekolah rendah ini kalau bukan Kastenet, Kerincing, Melodion dan Rekoder dan alat-alat muzik moden. Paling "cikai" pun mereka diajar menggunakan Angklung. Itu sahaja.
Selepas sekolah rendah pula, subjek muzik tiada dalam silibus pembelajaran bagi sekolah menengah. Hanya beberapa sekolah sahaja yang meneruskan subjek muzik, tapi kebanyakkannya tiada, seperti di sekolah aku. Subjek seni pula hanya diajar melukis sahaja dan tiada kepelbagaian seni lain lagi. Mereka tidak diajar memahat, ukiran, kimpalan dan pelbagai lagi cabang seni halus. Sedih bukan?
Satu lagi perkara, kebanyakkan sekolah di Malaysia ini tidak mengajar pelajar sekolah menengah tentang seni budaya warisan. Mereka semua tidak diperkenalkan tentang Mak Yong, Wayang Kulit, Kuda Kepang, Main Puteri, Zapin(di Johor aku dengar subjek ini ada di sekolah), Randai dan sebagainya. Akibatnya mereka semua buta tentang warisan tradisional mereka sendiri.
Apa yang paling tidak adil untuk anak-anak muda bagi aku ialah apabila mereka semua buta tentang seni warisan, mereka dipersalahkan. Mat Rock dipersalahkan, Mat Punk dipersalahkan, Mat Skaters dipersalahkan, Mat Hip-Hop dipersalahkan dan segala mat-mat lagi yang menjadi mazhab anak muda dipersalahkan kononnya mereka terpengaruh denga budaya barat! Kita juga jangan menyalahkan anak muda kita apabila mereka lebih mengenali Slayer daripad mereka kenal siapa S.M Salim, kita jangan menuding jari pada anak muda kita apabila mereka lebih mengenali J.RR Tolkien dan JK Rowling daripada mereka mengenali A.Samad Said dan Shahnon Ahmad! Jangan salahkan anak muda apabila mereka lebih kenal siapa Steve Vai atau Malmsteen daripada mereka kenal siapa pemain gambus tersohor Fadzil Ahmad atau pemain biola lagenda Hamzah Dolmat!
Tak pelu KEKKWA memekak-mekak tentang mencintai warisan budaya kita pada anak-anak muda jika kamu tidak menjalankan tanggungjawab kamu memperkenalkan mereka tentang seni budaya warisan sejak mereka muda lagi!
Rais Yatim, tolong buat sesuatu tentang silibus pembelajaran seni di sekolah, jangan sibuk nak tapis internet dan hentam komunis sahaja.