Khamis, 31 Disember 2009

سلامت مڽمبوت تاهون بارو

سلامت مڽمبوت تاهون بارو. سلامت داتڠ 2010 ممبوک تيراي بارو. سموݢ 2010 اين کيت ماسيه بوليه مڽماءي کاسيه سايڠ دان مرايکن کمأنسيأن سڤرتي تاهون-تاهون يڠ سوده.

Siapa tak faham atau tak boleh baca jawi sila tanya pada mereka-mereka yang arif. Aku pun tak arif menulis dalam jawi, baca pun tersangkut-sangkut. Terima kasih http://www.ejawi.net/v3/index.php?e=converter

Selasa, 29 Disember 2009

Bermusuh Dengan Nasi

Kini aku bermusuh dengan nasi. Mahu berat badan dulu balik -65 KG.
Tahun lepas aku tak makan nasi selama setahun, berat badan turun mendadak dari 85 KG ke 65 KG. Kini setelah makan nasi semula berat badan naik sehingga 75 KG. Arrgghh!!!
Nasi adalah seteru utama aku sekarang..,dan juga roti canai serta air bergas.

Jumaat, 25 Disember 2009

Ho! Ho! Ho!

Selamat merayakan Krismas -

Jesus ke, Muhammad ke, Daud ke, Abraham ke, Moses ke - semuanya utusan suci dari Sang Mahadaya ;)

Jumaat, 18 Disember 2009

Pesta Muzik Keras

Dijemput hadir beramai-ramai. Bawa sekali kekasih, bakal kekasih, bapak mertua, bakal bapak mertua, anak-anak yang sudah ada mahupun anak yang masih di dalam kandungan, kakak, adik, abang, makcik, pakcik, tokcek, tok ngah, wan ongah, cucu, cicit, piut-miut, sepupu-sepapat, pak long-maklong dan segala tok nenek keturunan. Ini pesta muzik keras kasi pecah kepala punya! Band aku mungkin membuat persembahan jika tidak ada hal yang menghalang. Dulu kecoh isu Black Metal. Ini bukan pesta Black Metal. Ini pesta muzik Death Metal/Grindcore. Tidak ada kambing hitam, tidak ada seks bebas, tidak ada ritual pijak kitab suci dan pemujaan syaitan seperti yang di surahkan oleh akhbar-akhbar dan majalah murahan tempatan. Kalau betul pun ianya gig Black Metal, semua benda merepek dan fitnah tersebut tidak pernah ada pun. Tidak percaya sila datang. Ini hanya pesta muzik keras. Hanya sebuah pesta anak-anak muda yang memainkan muzik bingit lain daripada muzik arus perdana. Siapa polis moral/agama yang anti konsert dan tidak pernah rasa betapa seronoknya ber headbanging juga ber mosh, dijemput juga datang. Baru anda tahu keseronokan konsert. Dijamin anda tidak anti konsert lagi selepas ini. Klik poster untuk maklumat lebih lanjut.

Khamis, 17 Disember 2009

Vokalis

Aku bukanlah peminat setia kumpulan mereka. Cuma bagi aku, suara mereka begitu unik dan tidak ada penyanyi lain yang mempunyai vokal yang sama seperti mereka. Jika ada yang sama pun, mungkin aku tidak minat langsung seperti Danny Filth dari kumpuland Cradle Of Filth yang cuba meniru suara King Diamond. Berikut adalah senarai vokalis lelaki yang unik bagi aku. Jika kamu tidak mengenali mereka, sila tanya youtube atau myspace music untuk mendengar suara mereka. Kesemua vokalis ini bermain muzik rock/metal.


Zakk Wylde
Band : Black Label Society


Ronnie James Dio
Band : Dio, Rainbow, Black Sabbath,ELF


Tom Araya
Band : Slayer


Chris Cornell
Band : Soundgarden, Audio Slave



David Coverdale
Band : Deep Purple, Whitesnake


Scott Weiland
Band : Stone Temple Pilot, Velver Revolver


James Hetfield
Band : Metallica


Freddie Mercury
Band : Queen


Robert Plant
Band : Led Zeppelin


Bruce Dickinson
Band : Iron Maiden


King Diamond
Band : Mercyful Fate, King Diamond


Rob Halford
Band : Judas Priest


Michael Åkerfeldt
Band : Opeth, Bloodbath

Rabu, 16 Disember 2009

Papan Kenyataan


Ayoh! Apa lagi anak muda!
Klik poster untuk maklumat lanjut.

Isnin, 14 Disember 2009

Kasut

Kasut jenama asli bukan tiruan yang dibeli di Chow Kit dengan harga murah

Jumaat, 4 Disember 2009

Berkelanalah!




Di dalam hidup kita ini ada banyak pilihan. Pilihan-pilihan itu samada di depan mata kita dan kita nampak, dan ada juga pilihan yang tersembunyi sebenarnya, malah kita tidak mengetahui pilihan itu ada. Yang ternampak atau dinampakkan adalah pilihan yang sudah sedia ada dilambakkan dan menunggu masa saja kita menyuapnya ke dalam diri kita. Biasanya pilihan begini adalah pilihan orang ramai di sini. Memilih untuk tidak ambil peduli tentang politik, memilih untuk tidak mencerahkan fikrah, memilih untuk tidak mempedulikan kesusahan orang lain, memilih untuk mementingkan diri sendiri dan pelbagai lagi PILIHAN NORMAL adalah pilihan kesukaan ramai - khususnya warga di Malaysia. Pilihan ini ada pelbagai. Ada pilihan baik dan mendatangkan faedah untuk kemanusiaan dan pilihan yang menyusahkan orang ramai serta tidak mendatangkan apa-apa manfaat pada masyarakat. Seperti contoh – banyak orang di Malaysia suka memilih untuk tidak membaca buku. Ini adalah pilihan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah untuk kemnusiaan. Apa yang sedih, pilihan yang dipilih inilah yang disukai pemimpin kita. Jika rakyat banyak membaca maka rakyat akan banyak melawan mereka! Ini apa yang mereak takuti. Biar rakyat banyak bodoh dan angguk kepala saja.

Untuk memperkatakan tentang “pilihan”, aku kecilkan lagi skop tentang pilihan ini iaitu - pilihan kita untuk memahami budaya, sistem dan agama orang lain. Salah satu cara yang aku fikirkan untuk memahami orang atau warga lain ialah dengan mengembara. Mengembara memberi kita peluang untuk memahami pelbagai ragam warga bumi ini. Mengembara memberi kita satu ruang untuk kita memerhati, memahami, mentafsir, mengolah, mempelajari akan kepelbagaian warna-warni umat manusia. Jika berpeluang mengembara, maka wajiblah kamu mengembara. Wajib jika kamu ingin meluaskan lagi pengalaman hidup kamu. Pada sesiapa yang merasakan pengalaman mereka sudah cukup luas, maka luaskanlah lagi pengalaman itu. Amatlah rugi jika ada sesiapa yang berpeluang mengembara ke tempat lain tetapi dia mensia-siakan peluang itu. Paling kesian untuk orang begini ialah fikrahnya. Orang begini telah menganiaya fikrahnya sendiri utuk menjadi terhad, tidak berkembang dan statik. Jika fikrahnya boleh bercakap-cakap, sudah pasti fikrahnya akan mengherdik si tuan empunya fikrah tersebut kerana menganiayanya.

Apabila kita duduk di suatu tempat buat masa yang agak lama, kita akan menjadi tepu, bosan, statik dan tidak berkembang. Menjadi statik dan kaku atau terperangkap di satu tempat yag sama berbelas-belas atau berpuluh tahun adalah sesuatu yang tidak elok untuk seseorang. (Ini kondisi aku sekarang!) Tambah-tambah lagi jika seseorang itu sudah sebati dengan sistem, budaya, agama dan kepercayaan satu-satu tempat itu. Menerima bulat-bulat tanpa bantah-bantah apa yang sudha sedia ada di depan mereka. Lebih parah lagi apabila mereka ini menjadi selesa dan malas untuk berubah, apatah lagi berfikir secara kritis atau mempersoalkan sesebuah sistem, budaya dan kepercayaan di satu tempat itu jika budaya dan sistem sesebuah tempat itu banyak ke arah unsur negatif – Seperti di Malaysia, parti pemerintah kita secara terang-terangan memperjuangkan politik perkauman dan rasuah.

Pada susuk yang mahu berubah dan berpeluang untuk berubah, dia tidak akan statik di satu-satu tempat. Maka jalan atau solusinya ialah mengembara. Pergilah ke mana saja yang disukai. Terokalah dunia ini luas-luas. Lihat ciptaan Sang Maha Daya yang pelbagai. Pelajari, tafsir dan fahamilah pelbagai corak-corak hidup masyarakat lain. Jika kita di Malaysia ini sudah biasa amalannya meludah merata-rata, mungkin amalan ini tidak dilakukan di negara Finlad misalnya. Jika kita di Malaysia sudah biasa tidak mematikan telefon bimbit ketika menonton filem atau menonton teater, di Paris mungkin kamu akan diherdik atau dimaki oleh warga di sana. (Orang begini pada aku lebih baik dipukul saja!) Jika kita biasa makan sedap-sedap di sini, mungkin apa yg kita makan di sini adalah sesuatu yang amat ekslusif dan mahal di negara lain. Jika Durian di sini kita boleh makan sampai muntah, mungkin di Tibet atau Tuvalu, durian adalah makan yang mahal dan susah didapati. Kita di Malaysia dengan pelbagai budaya serta agama, mungkin berasa janggal atau terperanjat beruk apabila kita mengembara di mana tempat tersebut mungkin banyak orangnya yang tidak menganuti agama.(Kadangkala mereka ini lebih baik dari orang yang beragama!) Mungkin kita yangg beragama ini kononnya mengangap mereka akan masuk neraka jahanam. Mereka yang tidak beragama ini juga pasti hairan dan kasihan melihat kita yang terikat dengan agama, budaya atau segala tok nenek pantang larang itu-ini. Jika di tempat lain, sepasang anak muda lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin boleh tinggal serumah tanpa ditangkap oleh polis agama/moral. Pasangan anak muda dari tempat lain tersebut pasti berasa marah jika mereka mendengar kisah anak-anak muda di Malaysia ditangkap DI DALAM RUMAH SENDIRI oleh polis agama/moral konon-kononnya mereka berzina. Jika kita di sini kebanyakkan warganya masih merasa malu-malu untuk membeli sepeket kondom di 7 Eleven, berlainan pula dengan sesetengah budaya negara lain. Amalan membeli kondom adalah kebiasaan bagi mereka.

Inilah yang penting sekali. Mengembara mengajar kita melihat kepelbagai dan pilihan. Dalam melihat kepelbagaian dan pilihan itu, maka disinilah berfungsinya akal dan fikrah kita untuk menilai, mentafsir, memahami tentang kepelbagain dan pilihan. Apa yang lebih bagus jika kita mempraktikkan budaya-buday positif dari tempat-tempat yang kita telah lawati. Seperti contoh amalan membaca, mempunyai pemikiran terbuka, membuang sifat perkauman, tidak mendiskriminasi perbezaan gender atau orientasi seks dan TIDAK CEPAT MELATAH TENTANG HAL REMEH-TEMEH.

Aku jika berpeluang pada satu hari nanti untuk mengembara, aku akan mengembara sepuas-puasnya. Aku ingin lihat hujan emas di negeri orang dan meninggalkan seketika hujan batu di negeri sendiri. Aku ingin melihat negara dunia ketiga yang lebih teruk dari Malaysia. Aku mahu bandingkan kemundurun mereka berbanding negara sendiri. Aku juga ingin sejuk digigit salji di negara Eropah. Aku ingin bercampur dengan masyarakat yang menerima gay dan lesbian. Aku ingin belajar budaya keterbukaan minda dari masyarakat lain seperti negara Perancis dan Itali atau memahami apa kenapa kolotnya minda sesebuah masyarakat terhadap kemodenan seperti di sesetengah negara arab. Harus juga aku memastikan lidah aku belajar dan menerima makanan mereka. Aku akan pastikan perut aku sentiasa lapar untuk mengisi pelbagai makanan dan minuman yang tidak ada di Malaysia. Jika sistem pengangkutan awam di sini sangat teruk, aku ingin juga merasa betapa cangih dan efisennya sistem pengangkutan awam di negara maju. Pergaulan aku akan lebih bebas jika aku berpeluang untuk mengembara. Bergaul dengan orang komunis, bergaul dengan orang sosialis, bergaul dengan pondan luar negara, berjabat tangan dan memeluk dengan orang yangg tidak sama warna kulit dengan aku adalah apa yang aku ingin lakukan ketika mengembara. Belajar sesuatu ketika mengembara adalah pengalaman yang tidak sama apa yang kita belajar di dalam kelas atau apa yang kita pelajari dari buku-buku. Dan akhirnya…maka luaslah pengalaman hidup aku. Itupun jika aku berpeluang untuk mengembara satu hari nanti. Harap-harapnya begitulah!

Mengembaralah jika berpeluang…

- Ketika entri ini ditulis aku sedang mendengar lagu Just Another Victim
dari Helmet dan Cypress Hill (Soundtrack Filem - Judgment Night)

Tema dan Pemikiran Dinsman dalam “PROTES”


Takrif Tema

Tema dapat dirumuskan dari pelbagai peristiwa dan latar. Tema adalah inti permasalahan yang hendak dikemukakan oleh pengarang di dalam karyanya. Oleh sebab itu, tema merupakan hasil keputusan dari pelbagai peristiwa yang terkait dengan perwatakan dan latar. Dalam sebuah drama terdapat banyak peristiwa yang masing-masing mengembangkan permasalahan, tetapi hanya ada sebuah tema sebagai intisari dari permasalahan tersebut. Permasalahan ini dapat muncul melalui perilaku para watak ceritanya yang terkait dengan latar dan ruang. Amanat pula merupakan opinion(fikiran), kecenderungan dan visi pengarang terhadap tema yang dikemukakannya. Amanat di dalam drama terjadi lebih dari satu,asalkan kesemuanya terikat dengan tema. Pencarian amanat pada dasarnya identik atau sejalan dengan teknik pencarian tema. Oleh sebab itu, amanat juga adalah ciri-ciri khas daripada pelbagai peristiwa, perilaku watak, latar dan ruang cerita. Pencarian tema dan amanat bagi pengkaji dan pengkritik bukanlah penting sebagaimana pelajar. Bagi kita mencari sebanyak mungkin permasalahan kemanusian dan nuansa sosiobudaya di dalam sebuah teks,ianya lebih penting.

Takrif Pemikiran

Mengikut T.S Eliot, pemikiran ialah intelektualisme, daya fikir, gagasan, idea, isi, agenda, ideology, program, rancangan, falsafah dan juga saintifik. Dapat dirumuskan di sini juga bahawa pemikiran pengarang sebenarnya dapat menangkap dan menyimpan perasaan yang tidak terbilang banyaknya, juga ungkapan gambaran yang akan tetap tinggal dalam simpanan fikirannya itu sehingga semua pecahan yang akan bersatu untuk membentuk sebuah karya itu di dalamnya.


Takrif Ideologi

Ideologi adalah kumpulan idea atau gagasan. Kata ideologi sendiri diciptakan oleh Destutt de Tracy pada akhir abad ke-18 untuk mendefinisikan "sains tentang ide". Ideologi dapat dianggap sebagai visi yang komprehensif, sebagai cara memandang segala sesuatu (bandingkan Weltanschauung), secara umum (lihat Ideologi dalam kehidupan sehari hari) dan beberapa arah filosofis (lihat Ideologi politis), atau sekelompok idea yang diajukan oleh kelas yang dominan pada seluruh anggota masyarakat. Tujuan untama disebalik ideologi adalah untuk menawarkan perubahan melalui proses pemikiran normatif. Ideologi adalah sistem pemikiran abstrak (tidak hanya sekadar pembentukan idea) yang diterapkan pada masalah publik sehingga membuat konsep ini menjadi inti politik. Secara implisit setiap pemikiran politik mengikuti sebuah ideologi walaupun tidak diletakkan sebagai sistem berfikir yang eksplisit


Definisi Lain Ideologi

Destertt de Tracy:
Ideologi adalah studi terhadap ide – ide/pemikiran tertentu.
Descartes:
Ideologi adalah inti dari semua pemikiran manusia.

Machiavelli:
Ideologi adalah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa.

Thomas H:
Ideologi adalah suatu cara untuk melindungi kekuasaan pemerintah agar dapat bertahan dan mengatur rakyatnya.

Francis Bacon:
Ideologi adalah sintesa pemikiran mendasar dari suatu konsep hidup.

Karl Marx:
Ideologi merupakan alat untuk mencapai kesetaraan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat.

Napoleon:
Ideologi keseluruhan pemikiran politik dari rival–rivalnya.

Muhammad Muhammad Ismail:
Ideologi (Mabda’) adalah Al-Fikru al-asasi al-ladzi hubna Qablahu Fikrun Akhar, pemikiran mendasar yang sama sekali tidak dibangun (disandarkan) di atas pemikiran pemikiran yang lain. Pemikiran mendasar ini merupakan akumulasi jawaban atas pertanyaan dari mana, untuk apa dan mau kemana alam, manusia dan kehidupan ini yang dihubungkan dengan asal muasal penciptaannya dan kehidupan setelahnya?

Dr. Hafidh Shaleh:
Ideologi adalah sebuah pemikiran yang mempunyai ide berupa konsepsi rasional (aqidah aqliyah), yang meliputi akidah dan solusi atas seluruh problem kehidupan manusia. Pemikiran tersebut harus mempunyai metode, yang meliputi metode untuk mengaktualisasikan ide dan solusi tersebut, metode mempertahankannya, serta metode menyebarkannya ke seluruh dunia.





Watak-watak dalam “Protes”

* Pengarang
* Adam
* Eva
* Logos
* Isteri Logos



Takrif Protes
Protes ialah sanggahan, bangkangan atau penentangan.

Sinopsis “Protes”

Drama karya Dinsman ini menceritakan mengenai seorang penulis drama. Cerita bermula apabila watak pengarang tersebut mula memberikan ciri-ciri dan perwatakan di dalam dramanya. Masalah mula timbul apabila pelakon untuk drama tersebut mula mempersoalkan watak jahat yang diberikan oleh pengarang tersebut. Ketika proses menulis, watak-watak di dalam drama tersebut telah memainkan peranan watak yang telah diberikan oleh pengarang. Setelah cerita habis, semua para pelakonnya mula memprotes serta menyalahkan pengarang kerana dia telah memberikan jalan cerita dan watak-watak yang negatif pada mereka.Dalam drama tersebut, semua semua watak saling bunuh membunuh dan akhirnya kesemua watak dalam drama si pengarang itu telah mati. Para pelakonnya mula memprotes pengarang dan mempersoalkan kenapa mereka diberi watak dan jalan cerita sebegitu. Akhirnya pengarang tersebut menyesal dengan apa yang telah dilakukannya pada watak-watak yang diberikan kepada para pelakonnya.

Pemikiran Dan Tema Dinsman

Drama “Protes” karya Dinsman ini mempunyai pemikiran dan tema yang cukup kuat sebagai sebuah drama yang bermutu. Apa yang dapat dicungkil dari drama “Protes” ini ialah pemikiran Dinsman iaitu manusia-manusia yang mempertikaikan peranan dan watak mereka di dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan konflik. Watak-watak seperti Adam, Eva, Logos dan Isteri Logos dalam “Protes” itu sebenarnya mewakili sebahagian golongan-golongan manusia di dunia ini yang mempersoalkan kewujudan dan peranan mereka sebagai manusia dalam menempuhi kehidupan seharian mereka. Manakala watak Pengarang pula seperti mewakili pencipta manusia atau Tuhan dan tugas Tuhan memberikan peranan manusia mengikut kehendak Nya. Ianya amat jelas sekali dalam drama “Protes” ini. Tidak dapat dinafikan juga kemungkinan watak-watak itu juga mewakili golongan Atheis, Freethinker, Anarkis/Marxis atau Nihilis dimana golongan-golongan seperti ini ialah satu golongan yang sering mempertikaikan peranan,kewujudan,fungsi serta kekuasaan Tuhan dan juga agama. Golongan-golongan ini selalunya sudah putus harapannya pada Tuhan dan agama dimana mereka sering menganggap bahawa hidup ini sudah tidak bereti lagi. Antara contoh golongan ini ialah mereka yang pernah sengsara akibat peperangan dan juga perebutan/peralihan kuasa serta perubahan arus politik yang mendadak. Mereka berpendapat bahawa hidup mereka telah hilang makna. Mereka kecewa, gelisah, cemas atas ketiadaan ketetapan hidup. Rasa pergantungan pada Tuhan telah terputus kerana mereka menganggap Tuhan telah tidak membantu mereka menghadapi hidup yang sentiasa mencengkam dan penuh dengan penderitaan. Mereka merasakan diri mereka terapung-apung dalam dunia yang kejam. Selain itu persoalan yang menampakkan tema dan pemikiran Dinsman timbul dari watak-watak dalam “Protes” ialah persoalan hukuman yang dikenakan pada waktak-watak yang melakukan kejahatan. Antara babak dan contoh dialog yang boleh dijadikan contoh ialah seperti berikut :-

PENGARANG : Yaa..kau..nama kau Adam. Seorang lelaki yang
oleh kerana didikan sosialismu sejak kecil, dia menjadi seorang watak jahat, yang menyimpan dendam dalam hati, kerana semasa kecilnya, dia selalu ditindas, atau semacam dianiaya. Watak begini memang banyak terdapat dalam kehidupan. Dan inilah yang menyebabkan hidup ini tidak habis-habis dengan konflik, tidak habis-habis dengan problem. Ya, kau Adam, menjadi lambang kepada manusia jenis ini, ok?

ADAM : Kenapa? Kenapa Pengarang menentukan watak aku
begitu?

PENGARANG : Kerana cerita ini. Kau perlu bersikap begitu.

ADAM : Kalau aku tidak setuju?

PENGARANG : Ha? Tidak setuju? Kenapa, kenapa kau tidak
setuju?

ADAM : Aku tidak setuju, kerana kau beri kesempatan aku
hidup sebelum aku benar-benar kau hidupkan di atas pentasmu yang benar-benar. Kemudian kau beri aku peluang memilih untuk menjadi manusia yang kau mahu. Sudah tentu aku tidak mahu jadi manusia jahat.

PENGARANG : Oh, kau mahu jadi manusia baik?

ADAM : Sudah tentu. He pengarang, kau tahu setiap manusia
itu, kalau diciptakan begini – seperti kau ciptakan aku ini – yang membolehkan dia memilih wataknya, tidak akan ada seorang pun manusia yang menjadi manusia jahat. Kau tahu itu?

PENGARANG : Ya, aku tahu itu. Memang tidak seorang manusia
pun yang dilahirkan jahat. Tetapi dalam proses pembinaan wataknya semasa kecil, dia mungkin menjadi jahat, malahan bukan mungkin lagi, sudah terjadi. Memang sudah terjadi begitu. Bahkan banyak yang terjadi begitu.

ADAM : Kenapa? OK..sekarang, kau sebagai pengarang yang
akan mencipta watak manusia, kenapa kau memilih manusia yang akan kau ciptakan itu begitu? Maksud aku, andainya kau benar-benar pencipta manusia, kemudian kau mencipta manusia yang berwatak jahat. Sesudah itu kau sendiri memberi hukuman atau seksaan kepada manusia watak jahat kau itu. Kenapa?
He pengarang, kalau aku jadi pencipta, lalu aku ciptakan kau, sebagai manusia watk jahat. Kemudian aku seksa kau kerana kau jahat. Bagaimana? Kau setuju?

(M/S 205-206).


Selain itu, kekuatan karya “Protes” ini ialah dari segi dialognya yang menonjolkan lagi pemikiran Dinsman dalam karya sebabaknya ini. Dialog-dialog yang dibicarakan oleh watak-watak di dalam “Protes” mempunyai pemikiran dan juga persoalan yang mempersoalkan peranan Tuhan terhadap manusia dari segi hukuman atau balasan atas perbuatan manusia itu sendiri. Di sini kita boleh melihat bahawa persoalan dosa dan pahala dan karma dipertikaikan oleh watak-watak dalam “Protes”. Disini diberikan contoh dialog tersebut: -

LOGOS(Agak Kuat : Pengarang! Dengar sini ya! Kalau aku yang
menjadi pengarang, dan aku ciptakan kau sebagai manusia yang jahat – anggapkan ini sebagai benar-benar ya, Pengarang – lalu kau menjadi manusia jahat – manusia yang benar-benar maksud aku - dan aku sebagai pencipta kau, maka kerana kau jahat, lalu aku seksa kau, atau kau terseksa sendiri kerana kejahatanmu. Bagaimana? Kau setuju?

PENGARANG(Terpegun beberapa ketika)

ARAHAN : Logos hilang.

(M/S 209)

Disini kita boleh melihat bagaima watak Logos mempersoalkan peranannya sebagai watak jahat. Dia mempersoalkan pengarang dimana jika dia melakukan peranan sebagai watak jahat, sedangkan watak jahat tersebut diberikan padanya. Apabila dia menjalankan tugas atau perananya sebagai watak jahat, dia mendapat hukuman atas perbuatan atau peranannya itu walaupun dia hanya mengikut apa yang dikehendaki oleh si pengarang. Dapat ditakrifkan disini bahawa kemungkinan Dinsman membawa persoalan golongan-golongan Atheis, Freethinker, Agnostik, Nihilis atau Marxis mahupun Anarkis dan persoalan golongan ini diwakilkan kepada watak-watak di dalam drama “Protes”. Secara lebih ringkasnya, golongan-golongan ini biasanya mempersoalkan kenapa Tuhan menciptakan orang jahat di dunia ini sedangkan orang jahat itu sifat jahatnya diberi oleh Tuhan dan apabila orang jahat itu melakukan “peranan” jahatnya, dia akan dihukum oleh Tuhan kembali dan mengapa Tuhan tidak menciptakan manusia itu semuanya baik sahaja.

Selain itu, salah satu contoh pemikiran yang terkandung dalam “Protes” ialah konsep manusia itu semuanya sama sahaja taraf dan kepentingannya dalam mengimbangi kehidupan dalam dunia ini. Konsep ini menjelaskan bahawa manusia itu sebenarnya tiada perbezaan dari segi apa pun dan mempunyai kepentingan dan peranan masing-masing yang tersendiri tidak mengira dari segi jantina, agama, bangsa, budaya dan sebagainya. Di sini, diberikan contoh dialog berkenaan dengan konsep yang memaparkan pemikiran dan tema Dinsman :-

PENGARANG : Ha, come on Logos. Kau watak kedua dalam
dramaku. Nama kau Logos.

LOGOS : Logos!...O.K. kau boleh taruhkan apa saja namaku.
Tapi kenapa aku watak kedua?

PENGARANG : Watak pertama sudah ada. Adam namanya. Watak
manusia yang baik. Dan kau watak kedua yang akan menghidupkan drama ini. Biar drama ini benar-benar jadi sebuah kehidupan Logos, supaya ada konflik. Tanpa konflik sesebuah drama tidak akan berjaya, Logos. Kerana tidak ada kehidupan yang tidak ada konflik. Dan hidup ini…

LOGOS : Nanti dulu. Nanti dulu Pengarang. Kau mahu aku
hidup dalam dramamu, bukan?

PENGARANG : Sudah tentu.

LOGOS : Manusia. Tidak ada manusia kedua. Tidak ada manusia
kedua pentingnya. Semua manusia sama-sama penting sebagai seorang manusia. Maksud aku, di dalam drama yang benar-benar hidup, tidak ada watak yang kedua. Tidak ada watak yang kedua pentingnya. Semua watak mesti sama-sama penting.

(M/S 208)

Dialog tersebut menimbulkan pemikiran Dinsman terhadap hieraki manusia di dalam kehidupan manusia. Sesetengah manusia sering bangga atau bongkak dengan status mereka dan itu termasuklah dari segi bangsa, keturunan, status dalam masyarakat, pekerjaan, perbezaan fahaman atau agama dan sebagainya lagi. Kita boleh melihat dengan jelas penentangan Dinsman terhadap kelas-kelas atau kasta-kasta sesama manusia yang diwakilkan oleh watak Logos dan dialognya seperti contoh yang diberikan. Dinsman menyuarakan pendapat-pendapat golongan yang merasakan diri
mereka sering diketepikan oleh manusia lain kerana perbezaan bangsa, agama, budaya, keturunan, pangkat atau pelbagai perbezaan kelas atau hieraki manusia itu sendiri.

Dinsman juga memperlihatkan aspek kasih sayang sesama manusia di dalam karyanya. Manusia haruslah kasih mengasihani antara manusia dan hidup dalamkeadaan aman dan damai. Nampak disisni bahawa Dinsman seorang yang sukakan kedamaian dan sangat membenci keganasa dan huru-hara. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa contoh dialog yang terdapat dalam karyanya.

LOGOS : He pengarang. Cuba kau sedar, bahawa setiap
Individu manusia semuanya mempunyai hasrat yang sama – mahu menjadi manusia yang baik.

ISTERI LOGOS : Mahu hidup dalam aman, damai, bahagia.

EVA : Mahu hidup berbaik-baik antara sesama manusia.

ADAM : Berkasih sayang antara manusia.

ISTERI LOGOS : Tidak ada seorang individu pun, termasuk
kau, yang sukakan hidup yang kacau.

LOGOS : Bermusuh sesama manusia

EVA : Berdengki

ADAM : Berperang. Tidak ada seorang pun yang mahu jadi
jahat. Kau sedar itu?

ISTERI LOGOS(Menghampiri pengarang): Kau sedar itu?

LOGOS(Menghampiri pengarang): Kau sedar itu?

EVA(Menghampiri pengarang): Kau sedar itu?


KESIMPULAN
Dapat disimpulkan disini bahwa karya “Protes” oleh Dinsman ini mempunyai pemikiran yang sarat dan jauh mendalam tentang persolan manusia dengan penciptanya iaitu Tuhan.Dinsman mahu khalayak memikirkan bahawa hakikat manusia sendiri itu bagaimana, sepertimana kata-kata ISTERI LOGOS pada PENGARANG pada mukasurat 219 iaitu “Fahami dulu hakikat manusia” Melalui watak-watak dan dialog juga, Dinsman mengajak para pembacanya supaya menilai baik-buruk ideologi-ideologi yang terdapat dalam karyanya walaupun drama “Protes” ini pada saya menampakkan pronya Dinsman pada persoalan-persoalan golongan yang tidak mempercayai atau menolak agama dan Tuhan, dimana jika seseorang itu beragama Islam, sudah tentu dan pastinya dia dilarang samas ekali untuk mempertikaikan kuasa serta kewujudan Tuhan. Profesionalnya Dinsman pada saya ialah dia meruntuhkan taboo atau pantang larang itu dan membuka sedikit minda orang-orang Islam untuk mengkaji persoalan golongan Atheis,Anarkis/Marxis ataupun Nihilis dan bukannya menyuruh kita sama-sama menjadi pengikut mereka.

Selasa, 1 Disember 2009

Getah Ajaib

Kita sering terdengar kes buang bayi. Paling menyedihkan kebanyakkan kes buang bayi yang terjadi di Malaysia melibatkan banyak golongan Melayu. Bayi-bayi yang dibuang dijumpai di tandas, di celah pokok buluh, di dalam semak, di surau, di masjid malah ada yang dijumpai di tepi tangga. Aku tidak ingin menjadi polis moral di sini. Aku tidak ingin menyalahkan mereka samada orang dewasa atau remaja sekolah yang melakukan seks bebas atau seks sebelum kahwin. Itu hal mereka jika mereka rela sama rela. Aku cuma ingin mengatakan bahawa mereka-mereka yang membuang bayi ini sungguh bodoh. Bukan saja bodoh malah dungu, mengalahkan kedunguan seekor siput babi. Aku rasa, mereka yang bersenggama sehingga TIDAK SANGKA pasangan mereka boleh mengandung atau TERMENGANDUNG dan kemudiannya tidak mahu menerima zuriat mereka kerana malu, bersalah dan sebagainya, aku tidak tahu mereka hidup di zaman bila. Adakah mereka hidup di zaman batu atau di zaman kerajaan Melaka atau di zaman-zaman di mana warga bumi ini masih lagi tidak diperkenalkan dengan apa itu KONDOM. Di Malaysia harga kondom cukup murah. Lebih murah dari kos untuk menggugurkan bayi!

Jika ada pasangan yang ingin melakukan seks secara suka sama suka, aku, kerajaan, ngo, ibu bapa, ustaz, atau apa dan sesiapa saja tidak dapat menghalang. Seks adalah keperluan manusia. Naluri seks adalah naluri semuladi bagi benda hidup. Bersenggamalah kamu atas kerelaan kedua-dua pihak. Sesiapa pun tidak dapat menghalang. Terdapat dua jenis seks. Seks yang semata-mata ingin melampiaskan nafsu dan seks untuk melampiaskan nafsu berserta ingin mendapatkan zuriat. Seks jenis pertama ini iatu seks untuk melampiaskan nafsu semata-mata adalah seks yang paling bermasalah sekali bagi aku. Jika kamu ingin melampiaskan nafsu semata-mata dan tidak berhasrat untuk mendapatkan zuriat, aku sarankan kamu supaya memakai kondom. Jika pasangan kamu mengandung, banyak perkara sulit terpaksa kamu hadapi. Kamu terpaksa menaggung malu dengan masyarakat, menaggung malu dengan ibu bapa, terpaksa membelanjakan banyak duit untuk rawatan kehamilan sehinggalah pasangan kamu beranak. Bila sudah beranak, kamu buang pula bayi tersebut! Yang lebih keji dan kejam bila ada pasangan yang mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan. Dimana letak kemanusiaan kamu? Adakah kamu sanggup menghadapi kesulitan-kesulitan ini semata-mata kamu KEDEKUT untuk mengeluarkan beberapa ringgit untuk membeli sepeket kondom? Bodoh sangatkah kamu kerana kamu tidak mengenali apa itu kondom? Adakah kamu sanggup menjadi pembunuh dengan menggugurkan kandungan kamu semata-mata kamu tidak mahu memakai kondom ketika bersenggama? Atau sanggupkah kamu dijangkiti Gonorea, Siflis, HIV atau apa-apa saja penyakit kelamin kerana tidak menggunakan kondom?

Untuk kes buang bayi dikalangan remaja terutamanya pelajar sekolah, disini aku menyalahkan kerajaan. Kerana apa aku menyalahkan kerajaan? Ini kerana kerajaan tidak memasukkan silibus pendidikan seks di sekolah-sekolah. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakkan ibu bapa di Malaysia ini terutamanya penduduk kampung dan terutamanya ibu bapa Melayu SANGAT KONSERVATIF dan tertutup tentang pendidikan seks. Mereka menganggap berbicara atau mendidik anak mereka tentang seks sebagai sesuatu yang taboo, memalukan dan dianggap lucah! Perkara ini harus diperbetulkan sama sekali. Pendidikan seks dan berbicara tentang seks bukan sesuatu yang lucah dan taboo. Ibu bapa harus dan wajib berbicara dan mendidik remaja-remaja sekolah menengah ini tentang seks pada sudut yang positif, bukan dari sudut taboo. Jika ibu bapa masih lagi bebal, malu dan sa kolot terhadap pendidikan seks, maka kerajaanlah yang wajib mengajar remaja-remaja kita tentang pendidikan seks. Kita lihat negara-negara maju. Mereka mengajar pendidian seks disekolah-sekolah. Malah dalam silibus pendidian seks mereka, ditunjukkan sekali gambar-gambar alat kelamin yang dijangkiti penyakit kelamin kerana melakukan seks bebas kerana tidak memakai kondom. Bukankah ini memberi impak besar pada remaja-remaja sekolah? Mereka akan tahu akibat dan bencana yang mereka akan hadapi jika mereka melakukan seks bebas. Mereka akan tahu bahawa bahana penyakit-penyakit kelamin dan kesannya sekiranya mereka tidak memakai kondom ketika bersenggama. Ada pihak yang mencadangkan supaya kondom-kondom diedarkan secara percuma di sekolah-sekolah. Ini adalah satu tidakan bijak bagi aku. Kondom-kondom bukan sahaja wajib diedarkan secara percuma pada sekolah malah di gedung membeli-belah, di kelab malam dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai. Warga Malaysia harus dididik lebih KERAS lagi tentang pentingnya penggunaan kondom. Tindakan ini sudah lama dilakukan di negara-negara maju.

Seperti yang diperkatakan tadi, kita sebenarnya tidak boleh mengalang pun jika remaja-remaja kita ingin melakukan seks. Ini tidak bermaksud aku menggalakkan seks bebas di kalangan remaja. Kita tidak boleh mengawal kesemua remaja kita dari terjebak seks luar nikah. Akan tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu menggunakan alat pencegahan penyakit dan kehamilan. Kes buang bayi, penyakit kelamin dan kes mengandung luar nikah dapat dikurangkan. Ini saranan aku untuk kerajaaan untuk mendidik remaja-remaja sekolah tentang pendidikan seks.

Untuk orang dewasa dan sudah cukup matang akalnya(harapnya begitulah), tidak perlu disarankan apa-apa pada mereka. Takkanlah bodoh sangat orang dewasa yang tidak tahu apa itu kondom kan? Oh, nampaknya kebanyakkan orang dewasa juga bodoh, kes-kes buang bayi dan penyakit kelamin banyak juga berlaku pada orang dewasa. Kasihan pada orang dewasa yang tidak tahu kepentingan kondom!

Lagi artikel berkaitan. Sila klik


“Romen banyak sedap aaa..sudah bunting jumpa sama saya ka?”




- Wah, ada pengikut baru, Zabad. Siapa ya si Zabad ni? Rasa-rasanya budak Aswara juga kot? Baca informasi di blognya, si Zabad ni suka muzik metal..cool!